Neelofa Terima Nasihat Dengan Hati Terbuka

Berikutan respon yang kurang menyenangkan atas pelancaran himpunan terbaru mereka yang berlangsung di Zouk Event Space Isnin lalu, Naelofar Hijab mengirimkan kenyataan maaf dan Neelofa mengucapkan terima kasih atas pandangan dan nasihat yang diberikan. 

 

Gambar : Instagram Neelofa

 

“Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini. Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak,” tulis Noor Nabila, kakak kepada Neelofa yang juga merupakan Pengarah Urusan Naelofar Hijab.

 

Menurutnya lagi, sepanjang majlis tersebut berlangsung, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan apa-apa jenama dan botol-botol minuman keras, gelas serta perkakas diasingkan serta dikeluarkan sepenuhnya daripada permis tersebut ketika berlangsungnya majlis itu.

 

Bahkan, akses ke bar dan kelab lain juga ditutup demi untuk melancarkan majlis pelancaran itu. Merokok juga dilarang sama sekali di dalam kawasan tersebut.

 

Pemilihan lokasi Zouk sebagai pelancaran tudung BeLofa mencetus pelbagai respons dan juga komen daripada orang ramai termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

 

 

Dalam masa yang sama, Neelofa menerusi kenyataannya di dalam Utusan Online mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dr Zulkifli atas nasihat serta pandangan ikhlas yang dibuat terhadap dirinya semalam.

 

Tambah pengacara MeleTOP itu, “Saya anggap ia satu teguran dan nasihat yang mendamaikan dari seorang pakar kepada saya. Saya sangat menghargainya. Saya dan team NH mengambil berat setiap nasihat dan cadangan yang diutarakan oleh pihak Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri itu,” katanya.

 

Rakaman video permainan LipSync Battle yang turut dianjurkan sewaktu acara berlangsung turut menjadi tular, lantas ‘memanaskan’ lagi persepsi khalayak terhadap majlis pelancaran tersebut.

 

Dalam kenyataan media itu lagi, Nabila menulis “Kami telah membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini di tempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan dan mereka juga menawarkan ruang untuk disewa sebagai ruang acara pada setiap hari Ahad dan Isnin oleh kerana ruang ini tidak dibuka untuk kunjungan umum. Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED, serta sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis ini dan kesemuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara,” jelas Nabila akan sebab mereka memilih lokasi Zouk sebagai tempat majlis pelancaran tudung terbaru keluaran Naelofar Hijab sekaligus menyambut ulang tahun ke-29 Neelofa.

 

Selepas apa yang berlaku, Nabila turut menyatakan yang mana pihak NH mengambil serius akan soal ini dan mendengar semua komen mengenai isu tersebut dan menggunakannya sebagai satu pengajaran.

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link
Powered by Social Snap